14 Mei 2026 (Khamis)
Dewan IKTBN Bachok
Alhamdulillah, Program Kembara Jelajah Guru KAFA Daerah Bachok telah berlangsung dengan penuh meriah dan jayanya hasil kerjasama erat antara Persatuan Guru KAFA Kelantan (PERKAFA) bersama Seksyen Pengurusan KAFA Kelantan (SPKK).
Bertemakan “Langkah Sejiwa, Aspirasi Bersama”, program ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan apabila lebih 497 orang guru KAFA dari seluruh daerah Bachok hadir bagi memeriahkan program yang dianjurkan. Kehadiran yang begitu menggalakkan ini jelas membuktikan komitmen dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga guru KAFA.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian bermanfaat dan menarik telah diadakan. Antaranya ialah sesi Mesra Pelanggan bersama PERKESO yang disampaikan oleh YBrs. Puan Roziah binti Rashid, Ketua Unit Penguatkuasaan PERKESO Kelantan. Melalui sesi tersebut, para peserta telah diberikan pendedahan berkaitan perlindungan sosial serta manfaat caruman PERKESO khususnya kepada guru-guru KAFA.
Di samping itu, turut diadakan sesi perkongsian bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang disampaikan oleh YBrs. Puan Nor Syifa binti Mohamad Najid, Pegawai Penasihat Perhubungan KWSP. Taklimat tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan simpanan persaraan serta perancangan kewangan demi menjamin kebajikan pada masa hadapan.
Selain itu, para peserta turut berpeluang mengikuti sesi taklimat PERKAFA yang disampaikan oleh Yang Dihormati Ustaz Kamal bin Mustapha, Presiden PERKAFA. Dalam sesi berkenaan, beliau turut memperkenalkan barisan Majlis Tertinggi PERKAFA kepada seluruh guru yang hadir.
Program kemudiannya diteruskan dengan taklimat pengurusan KAFA oleh YM Ustaz Raja Mohd Alias bin Raja Ali, Ketua Seksyen Pengurusan KAFA Kelantan. Taklimat tersebut menyentuh pelbagai aspek berkaitan pengurusan semasa serta hal ehwal kebajikan dan pentadbiran guru KAFA di negeri Kelantan.
Bagi menambahkan lagi kemeriahan program, pelbagai hadiah cabutan bertuah turut disediakan kepada para peserta yang hadir. Di samping itu, reruai pameran dan jualan daripada PERKAFA serta beberapa agensi turut mendapat perhatian para pengunjung, antaranya PERKESO, KWSP, Lembaga Tabung Haji dan Bank Rakyat. Kehadiran agensi-agensi tersebut sedikit sebanyak memudahkan urusan serta perkongsian maklumat kepada warga guru KAFA. Turut diadakan ialah reruai jualan daripada PERKAFA dan Kelab SPKK.
Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha memperkukuhkan ukhuwah, mempererat jalinan kerjasama serta menjaga kebajikan warga guru KAFA di seluruh negeri Kelantan.








